Media dan Hedonisme
Media dan Hedonisme |
Media telah menjadi sebahagian daripada hidup manusia. Budak kecil yang berada di usia 5 tahun mungkin sudah pandai memesan makanan melalui hp, mendengar lagu-lagu kegemaran nya di YouTube, bahkan memecahkan kode-kode komputer yang tidak mampu dilakukan orang dewasa. Kebanyakan pergerakan kita juga banyak bergantung dengan sosial media dan aplikasinya.
Bermula dari terbit matahari di timur sehingga terbenamnya di sebelah barat dalam kitaran sehari, manusia akan disajikan dengan pelbagai iklan dan perkembangan teknologi dalam aplikasi-aplikasi ini. Kita tidak menafikan kebaikan yang didapatkan dari media dalam dunia serba moden ini. Bahkan tulisan di Serambi ini juga manfaat dari media.
Namun dalam kegembiraan manusia menikmati kehidupan media, saya melihat kita terlepas pandang sesuatu yang besar. Sesuatu yang amat bahaya, seolah-olah senjata halus yang dibiarkan menyerang manusia sedangkan mereka menyangka itu nikmat yang luar biasa. Lebih menyedihkan, umat Islam juga ikut diserang dengan senjata ini. Bahayanya lebih besar daripada mana-mana penyakit pandemik kerana kesannya panjang dan berlarutan sehingga generasi seterusnya.
Buka lah apa saja aplikasi di media baik itu Tiktok kah, Facebook, YouTube, Instagram, Snapchat dan senarai yang tidak akan terhenti.. Anda akan melihat manusia berdansa dengan ria, iringan lagu yang entah apa-apa liriknya, iklan minuman keras secara terbuka, konsert-konsert bertebaran di serata dunia dan pelbagai lagi hiburan melalaikan. Ya, kita berbicara tentang media dan suntikan halus Hedonisme yang diterapkan di dalamnya. Apa pula Hedonisme?
Mudahnya, Hedonisme merupakan fahaman atau falsafah yang menjadikan hiburan sebagai tujuan utama kehidupan. Segala hiburan dalam apa jua bentuk yang dapat memuatkan nafsu manusiawi kita akan dirai. Bagaimana pula media memainkan taktiknya di sini?
Lambakan penyanyi dari Barat sudah ada yang mempertontonkan adegan-adegan tidak senonoh dari dulu, lirik halus yang mengagungkan cinta manusia sehingga Tuhan tidak mampu menghalangnya, pakaian menjolok mata, taburan wang dan emas permata menyebabkan mata yang melihat pemandangan begini mudah sekali dimanjai dengan nikmat dunia.
Saya baru saja melihat sebuah video klip seorang penyanyi asal Britain yang dirilis beberapa hari lalu. Kekuatan vokal dan videonya yang ‘sopan’ berbanding penyanyi lain membuatkan saya senang mendengar karyanya sebelum ini. Namun kali ini beliau juga mula menayangkan adegan ranjang dalam video musik terbarunya. Parah sekali!
Para pembaca yang budiman, mengapa kita mengatakan bahawa Hedonisme itu bahaya? Fahaman ini terkait dengan akal dan turun ke perasaan. Akal yang sukakan kelalaian dan perasaan yang ingin diulit dengan nikmat tipuan akan melahirkan generasi yang manja dan hilang jati diri, lebih-lebih lagi jati diri Islam bagi pemuda pemudi. Kita dikelilingi dengan senjata 3S yang digunakan untuk menghuru-harakan manusia dalam jangka masa panjang, iaitu ‘Sex, Sport & Song.’ Dalam pengajian tahun 3 jabatan Aqidah dan Falsafah di al-Azhar, telah dinyatakan bahawa tidak ada walaupun satu agama samawi - baik Nasrani atau Yahudi - yang membenarkan minum arak dan zina dalam kalangan penganutnya, mengikut manuskrip lama Talmud dan Injil. Malang sekali, tangan-tangan celaka manusia berani mengubah kitab suci agama untuk menurut hawa nafsu mereka di dunia lalu menghalalkan apa yang diharamkan.
Tidak perlu kita tegas kan lagi bahawa agama kita yang suci bebas daripada fahaman ini. Islam melarang hiburan yang melalaikan daripada mengingati Allah SWT dan mengarahkan untuk menutup pintu-pintu yang menuju kepadanya. Kita juga perlu menyedari bahawa perjuangan kita bukan lagi di medan perang mengangkat senjata seperti di zaman Rasululullah SAW dahulu, namun perjuangan kita dalam media dan pemikiran. Kita lemah dari segi media, menyebabkan pemikiran kita mudah di kawal oleh mereka yang berkuasa.
Dan sejarah telah menuturkan bahawa bilangan yang kecil dengan fikrah Islami yang kuat akan dapat mengalahkan bilangan besar namun kecundang sudut pemikiran.
Ditulis oleh Bintu al-Naimi
Posting Komentar untuk "Media dan Hedonisme"